Apa yang mencuit hati aku, bila kami sampai, budak-budak ni boleh bertanya "Ada bawak kamera tak?". Laaa, ingat lagi rupanya! Sebab dulu aku datang aku memang bawa kamera dan aku ambil gambar kucing hitam mereka. Budak-budak ni siap bagitau lagi kucing hitamnya dah keluar berjalan, tinggal seekor anak kucing hitam berekor kontot saja.
Melalui Suriawati, aku dapat tahu yang ayah mereka sudah tidak bekerja. Kerja terakhirnya di PTP, tapi rasanya dia diberhentikan. Keluarga ini telah berpindah dari Layang-Layang ke Pekajang sehinggalah ke tempat sekarang. Rumah yang diduduki pun rumah orang.
Kesian budak-budak ni. Menurut apa yang diceritakan oleh Azam, budak-budak ni lima beradik, tiga cacat anggota dan dua diklasifikasikan sebagai "kanak-kanak khas". Ibunya juga cacat anggota. Hanya ayahnya saja yang sempurna.
Tapi bila aku bercakap dengan Suriawati, aku tak nampak pun apa "khas"nya si gadis kecil ini. Budaknya cergas dan daripada tutur katanya IQnya boleh tahan juga.
Apa-apapun, apabila aku berbual dengan orang susah, melihat sendiri kedaifan hidup mereka, dalam hati aku timbul satu soalan: apakah jika ini berlaku kepada aku? Kalau aku hilang pekerjaan, sampai tahap manakah aku mampu bertahan? Di manakah akan aku berlindung?
Aku tak tahu apa yang bakal berlaku esok dan lusa, tapi hari ini aku tahu aku bersyukur kerana aku masih ada kerja, ada tempat berlindung, ada kenderaan, ada rezeki, ada emak, dan ada ketenteraman dalam hidup aku.
No comments:
Post a Comment