Thursday, 29 October 2009

Iktibar dan natijah jambatan roboh

Aku terkilan bila melihat liputan berita tv tentang tragedi jambatan roboh di Kuala Dipang. Terkilan sebab bila beberapa orang pelajar ditemuduga, mereka mengatakan bahawa pelajar-pelajar yang berada di atas jambatan itu berpusu-pusu dan melompat-lompat dan menghenjut-henjut di atas jambatan itu sehingga ianya roboh.

Aku terkilan kerana, mengapa kanak-kanak tersebut dibiarkan berpusu-pusu dan melompat-lompat dan menghenjut-henjut di atas jambatan tersebut? Di mana orang dewasa yang seharusnya bertanggungjawab di atas soal keselamatan kanak-kanak ini? Adakah kanak-kanak ini telah disuruh berbaris single file dan dipesan agar berhati-hati ketika menggunakan jambatan tersebut? Adakah kanak-kanak ini sudah diberitahu do's and don'ts ketika menjalani aktiviti-aktiviti yang dikelolakan?

Ada pihak yang berpendapat kononnya akibat perangai kanak-kanak di atas jambatan itulah maka jambatan itu roboh. Harus diingat, jambatan itu bukan patah ditengah. Tetapi roboh daripada asasnya di tebing sungai. Tercabut bongkah konkrit yang menjadi asas tiang jambatan.

Akhbar mengatakan di antara 30 -50 pelajar berada di atas jambatan itu ketika itu. Berat seorang kanak-kanak secara puratanya adalah sepertiga hingga separuh berat badan orang dewasa. Kalau jambatan itu tidak boleh menampung berat dan impak pergerakan 30 - 50 budak, ini bermakna jambatan itu mungkin tidak mampu menampung 10 -25 orang dewasa sekaligus. Bayangkan. Jadi siapa yang salah, budak ke jambatan?

Aku rasa sekarang ramai ibubapa yang enggan membenarkan anak-anak mereka mengikuti aktiviti-aktiviti sekolah mahupun yang dianjurkan pihak-pihak lain. Siapa yang tak risau melepaskan anak-anak mereka ke tangan orang lain bila perkara yang paling dahsyat sekali sudah berlaku. Perginya ketawa girang, kembalinya dalam beg mayat. Kita tidak menuduh sesiapa, tetapi persoalannya, adakah orang lain akan menjaga anak-anak ini seperti menatang minyak yang penuh, sama seperti ibu bapa mereka sendiri?

Aku fikir eloklah kalau ada badan keselamatan yang boleh memantau tempat-tempat awam atau aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di tempat awam. Macam DOSH memantau hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan pekerjaan, seharusnya ada para profesional keselamatan yang bertauliah yang boleh memainkan peranan yang sama. Aku pun tak tahu bagaimana tetapi yang nyata keadaan tempat-tempat awam sekarang banyak yang tak selamat dari yang selamat. Sebelum kes jambatan runtuh ini, keretapi Bukit Bendera buat hal sehingga ramai pelancong terkandas selama beberapa jam. Nasib baik terkandas. Kalau perkara yang lebih teruk berlaku, macam mana?

Untuk menganjurkan sesuatu aktiviti yang melibatkan kanak-kanak, aspek keselamatan adalah perkara paling pokok dan utama. Kanak-kanak tidak pandai menjaga diri sendiri.

Aku hairan juga, kalau jambatan itu baru saja sebulan siap dibina, sudah tentu asasnya belum kukuh, justeru mengapa dianjurkan aktiviti yang melibatkan begitu ramai kanak-kanak ditempat yang nyata berisiko?

Maka kini bermulalah drama tuduh-menuduh, tuding-menuding, taichi-mentaichi dan fitnah-memfitnah. Tapi yang nyata, ada dua golongan manusia yang hidupnya takkan sama lagi selepas ini.

Ibubapa yang kematian anaknya, dan orang yang kecuaiannya menyebabkan nyawa terkorban. Bezanya kelompok yang kedua tak akan tidur nyenyak selama-lama hayatnya.

No comments:

Post a Comment