Monday, 26 October 2009

Pementasan Teater Srikandi Tanah Jauhar


Barisan pelakon Srikandi Tanah Jauhar
Hakcipta Terpelihara www.rarws.blogspot.com. Dipinjam hanya untuk tujuan hiasan.

Sabtu lepas aku menghadiri pementasan teater Srikandi Tanah Jauhar, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru, dengan kerjasama JKKNNJ dan RTM Johor.

Aku mendapat tahu tentang pementasan ini secara kebetulan apabila aku menghadiri perbicaraan di Mahkamah Buruh. Beberapa keping flyer warna kuning terang berselerakan di atas kaunter JTK dan aku tertarik dengan perkataan "teater" yang tercetak diatasnya.

Aku memang sudah lama tidak berkecimpung dalam teater, malah menonton pun tidak pernah lagi dalam beberapa tahun ini. Dan sejak aku bekerja di JB inilah kali pertama aku mengetahui tentang adanya pementasan teater di sini. Sekembali aku ke pejabat, aku mula meng-Google judul teater di atas flyer tersebut. Tidak banyak informasi yang aku jumpa tentangnya. Ada satu event dalam Facebook itupun cuma satu dua orang saja yang menunjukkan minat untuk hadir. Aku klik butang "Attending" dalam ruang RSVP.

Pada hari Sabtu tu aku pergi seorang ke pementasan teater tersebut sebab kawan-kawan lain semuanya ada hal. Yang tak ada hal, tak minat teater. Sampai saja aku di ruang letak kereta RTM, punyalah ramai orang dah beratur di pintu masuk auditorium, kebanyakannya pelajar.

Aku ni jahil teater jadi aku tak mahulah mengulas panjang lebar tentang mutu persembahan mahupun jalan cerita. Kalau nak tahu plot ceritanya klik di sini. Cuma aku ada dua biji buah fikiran sahaja mengenai teater Srikandi Tanah Jauhar ini.

Pertama, mutu lakonan (serta mutu suara penyanyi-penyanyi yang terlibat di dalam produksi ini) pada pandangan aku agak baik. Aku yang duduk di barisan hadapan hanya sebaris di belakang wakil media memang boleh melihat secara dekat dan jelas ekspresi muka setiap pelakon. Secara jujur aku tidak kenal nama-nama mereka dan aku tidak tahu sama ada mereka ini adalah pelakon berpengalaman atau baru, tetapi yang nyata mereka berjaya membawa watak masing-masing dan bisa menjana emosi penonton. Mereka membuat aku ketawa ketika babak lucu dan hatiku kembang dengan kebanggaan ketika menyebut dialog-dialog yang berkisar tentang semangat perjuangan.

Yang paling menarik bagi aku ialah kemunculan watak anak kecil yang menentang pembunuhan watak ayahnya. Amat besar bakatnya si kecil ini dan voice projection nya begitu baik sekali. Aku amati pergerakan pelakon cilik tersebut, ternyata dia memang ada keyakinan diri yang tinggi.

Skrip produksi teater ini juga agak menarik kerana ianya menggabungkan elemen sejarah dengan elemen kemodenan dengan jalinan yang dapat menggamit hati penonton untuk menghargai sejarah Melayu terutamanya negeri Johor. Cara ini pasti berkesan untuk memupuk minat pelajar untuk mendalami sejarah tanahair sekaligus mengapresiasikan kekayaan seni teater Melayu.

Kedua, aku rasa walaupun bilangan penonton teater ini mencecah 700 orang setiap show dalam jangkamasa tiga hari pementasannya, bagi aku belum cukup bagus lagi kerana sebilangan besar penonton hanyalah pelajar, penjawat awam dan ahli-ahli sebuah parti politik tertentu. Aku rasa, promosi seni teater Melayu mesti lebih giat lagi supaya boleh sampai ke telinga dan mata orang ramai. Memang ada berita tentang pementasan ini di Kakiseni.com, blog-blog individu, juga di dada akhbar-akhbar tempatan. Tetapi "buzz"nya seperti tidak ada. Aku sebagai sebahagian dari hoi polloi langsung tidak merasakan "buzz"nya dan jikalau aku tidak ada kes bicara di JTK hari itu nescaya aku terlepas pementasan ini. Mungkin usaha untuk mempromosi produksi-produksi teater tempatan di masa depan boleh dibuat dengan lebih giat melalui Facebook, Twitter dan usahasama dengan badan-badan korporat. Seni teater tempatan perlu lebih banyak sokongan rakyat dan perlu dibudayakan kerana ini adalah salah satu saluran yang berkesan untuk menyampaikan apa saja mesej yang perlu dimaklumkan kepada orang ramai.

Tapi seperti yang aku kata tadi, aku ni jahil teater. Apalah yang aku tahu, kecuali aku amat seronok menonton produksi teater tempatan dan aku ingin terus menonton dan menonton dan menonton.

2 comments:

  1. untuk pengetahuan tambahan mereka (pelakon & penggiat) adalah dari persatuan teater kesuma-i, mereka mengadakan latihan dan perjumpaan pada hari selasa dan jumaat setiap minggu -ali abdat

    ReplyDelete
  2. salam Cik Tahirah, Teater Srikandi Tanah Jauhar adalah hasil usaha Persatuan Teater KESUMA-i Johor Bahru dengan menampilkan hampir 70 tenaga kerja dan karyawan untuk teater ini, biarpun dengan perbelanjaan yang minimun, usaha kami memartabatkan teater di Negeri Johor akan tetap dilakukan. jika cik berminat untuk melihat sesi latihan kami atau terlibat sekali silalah datang ke Anjung Seni Pej. Daerah Johor Bahru (Berhadapan dengan terminal larkin) pada setiap hari selasa dan jumaat jam 9.00 malam, untuk keterangan lanjut sila hubungi 016-7949059 (En. Mohd Razif Hj Adnan - Pengerusi KESUMA-i) atau 012-7048224 (En. Othman Ahmad - Setiausaha)

    ReplyDelete